Sunday, 4 October 2015



KONSEP NILAI DAN PERPADUAN MASYARAKAT MALAYSIA



(1) Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.











(2) Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.









(3) Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.








MAKANAN TRADISIONAL KAUM MELAYU 

Nasi Lemak

Nasi lemak merupakan makanan kegemaran bagi orang Malaysia dan Singapura terutamanya sebagai sarapan pagi. Nasi lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa, bagi menambah rasa lemaknya. Kadangkala daun pandan dimasukkan semasa nasi lemak dimasak bagi menambahkan aromanya. Kaum melayu makan nasi lemak dengan telur kukus,timun,ikan bilis goreng dan sambal.Tetapi kini pelbagai hidangan disajikan bersama nasi lemak seperti ayam,daging,sotong,udang,limpa dan hati lembu.


Lemang
Lemang ialah sejenis makanan tradisi yang disukai orang ramai. Lemang hanya terdapat ketika Hari Raya.Semua orang daripada pelbagai kaum suka makan makanan tradisi ini.Lemang telah direkodkan sebagai hidangan istimewa sejak 1864.Makanan tradisional ini dihidangkan bersama rendang atau serunding. Lemang diperbuat daripada beras pulut dan santan.Nasi didalam buluh dibakar dengan daun pisang.Kaedah memasak yang menggunakan buluh ialah cara memasak kaum asli di Malaysia.


Otak-otak

Otak-otak adalah sejenis makanan tradisional di perkampungan nelayan. Kebiasaannya dimakan sebagai makanan ringan di jamuan petang. Terdapat dua jenis otak-otak di Malaysia iaitu “Otak-otak Terengganu” dan “Otak-otak Johor.”Pada lazimnya ia dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah tetapi kini ianya boleh dibungkus dengan kulit popia dan dikenali sebagai ‘spring roll’. Kebiasaan otak-otak diperbuat daripada isi ikan laut. Bagi ikan air tawar yang sesuai untuk dibuat otak-otak ialah ikan tilapia merah, patin dan keli. Otak-otak yang dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah perlu dibakar di atas dapur arang atau dapur biasa. Ia  lebih enak dimakan ketika masih panas.

  

MAKANAN TRADISIONAL KAUM CINA

Kuih Bulan

Kuih Bulan adalah sejenis kuih cina yang sering dimakan sewaktu perayaan Pertengahan Musim Luruh. Menurut hikayat  cina Kuih Bulan berdasarkan sebuah kisah yang berlaku di Negara Cina semasa pemerintahan puak Mongol ( Dinasti Yuan ) yang agak tegas dan kejam. Undang- undang yang tidak munasabah dan pelik dikenakan. Ke atas rakyat cina supaya tiada satu pun yang dapat menggugat kuasa mereka. Di sebabkan ini, rakyat cina dengan dorongan Puak Ming, bersepakat untuk memberontak. Pada suatu malam,semasa bulan sedang mengambang, mereka membuat kuih yang berbentuk bulat beramai- ramai.Di tengah- tengah kuih tersebut diletakkan pesanan yang menerangkan cara untuk memberontak. Usaha ini berjaya dan Kerajaan Mongol berjaya digulingkan. Hingga kini, peristiwa ini di rayakan pada setiap tahun oleh Masyarakat Cina. Dalam perayaan yang dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh.Kuih Bulan di buat daripada adunan yang manis dan memiliki inti biji buah teratai atau kacang merah atau dengan kuning telur masin di tengahanya. Terdapat juga tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan kepada Dewa Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan lapuran buruk kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih Bulan yang manis itu.

Zong zi

Zong zi atau biasa disebut Ba Tzang adalah makanan tradisional Tiongkok yang terbuat dari beras ketan dan dibungkus dengan daun bambu. Zongzi biasa disajikan pada tradisi perayaan Duanwu atau Festival Perahu Naga yang jatuh pada bulan ke lima Imlek untuk memperingati wafatnya Qu Yuan, seorang penyair dari zaman kerajaan Chu. Menurut legenda, Qu Yuan gagal memperingati kaisar dan para pejabat istana untuk menghentikan perang saudara yang sedang terjadi kala itu. Qu Yuan lalu membuat puisi yang berisikan kesedihan dan kekhawatirannya terhadap peperangan di tanah air mereka. Setelah puisi itu selesai, ia melompat ke sungai Miluo. Orang-orang mencuba menyelamatkannya dengan melempari bungkusan-bungkusan nasi dengan maksud memberi makan para ikan agar mereka tidak memakan mayat Qu Yuan. Nah, bungkusan-bungkusan nasi itulah yang kemudian dikenal dengan nama Zongzi atau Ba Tzang.

Kuih Bakul

Kuih Bakul atau Nian Gao ialah makanan cina yang diperbuat daripada tepung pulut berbentuk seperti dodol.. Sungguhpun boleh dimakan bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baru Cina. Memakan kuih bakul dipercayai membawa tuah pada masa perayaan ini kerana namanya “nian gao” di mana perkataan gāo berbunyi sama dengan perkataan yang bermaksud ‘tinggi’ melambangkan erti “semakin tahun semakin tinggi” atau ringkasnya “setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan”.Sungguhpun pelbagai jenisnya, namun semuanya berkongsi ramuan pulut sama yang dihancurkan atau dikisar menjadi adunan, dan, bergantung kepada jenis itu, boleh diacu begitu sahaja atau dimasak semula untuk mengukuhkan ramuannya. Kuih bakul berbagai-bagai jenisnya termasuklah jenis-jenis yang didapati dalam masakan Shanghai, dan masakan Kontonis dari Guangdong.

MAKANAN TRADISIONAL KAUM INDIA

Muruku

Muruku adalah makanan tradisional kaum India Malaysia yang resepi nya berasal dari India Selatan terutamanya dari Tamil Nadu. Muruku telah mengambil tempat di hati semua masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Murukku adalah makanan ringan yang sedap, rangup dan senang dibuat dan murah kosnya.  Murukku diperbuat dari Tepung Kacang Tosai/Urad dhal dan Tepung beras dan perasanya bergantung kepada penggemar seperti yang asli atau pun yang pedas mengunakan serbuk cili. Murukku yang biasanya berbentuk bulatan atau pun yang halus. Murukku di buat menggunakan acuan khas seperti cara menekan tepung yang telah uli atau pun cara pemutaran.

Roti Canai
Roti canai atau paratha dan puri ini pada asalnya ialah makanan kegemaran kaum India. Buat masa kini roti canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak, diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Capati yang diolah dari gandum tulin mempunyai banyak khasiat dan makanan sesuai untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Roti-roti ini sedap dimakan bersama dal, kari dan sambal.



Tosai

Tosai ini mempunyai banyak nama lain. Tosai juga dikenali sebagai dosa, dosay, dose, dosai, dhosha, thosai ataupun chakuli.Tosai juga terdiri daripada pelbagai jenis seperti tosai telur, tosai cili, tosai bawang dan sebagainya. Makanan tradisional ini sering dimakan oleh rakyat Malaysia terutamanya kaum india.Tosai boleh didapati di mana-mana gerai atau kedai mamak dan juga di restoran india. Makanan tradisional ini berasal dari India.Tosai dimakan sebagai sarapan pagi atau makan malam.Tosai amat kaya dengan karbohidrat dan protein.Tosai dimakan dengan pelbagai jenis lauk sampingan. Contohnya,sambar,sambal dari buah-buahan,acar india,kari ayam atau daging kambing dan lain-lain. Di dalam tosai,ia diisi dengan kentang dan bawang yang telah di goreng sehingga ranggup.